September 21, 2013

Revolusi dan Perjuangan

By Aldric

Dalam setiap pemberontakan yang tercatat dalam buku teks Sejarah, tidak satu yang memperjuangkan "kemerdekaan" melainkan perjuangan Tunku Abdul Rahman. Cuba buka balik: hampir semuanya tidak berpuas hati dengan "kaedah kutipan cukai". Yang pelik lagi ajaib, bukannya orang-orang biasa yang memberontak, tetapi pembesar-pembesar yang mengutip cukai!

Kalau tidak salah, konsep feudalisme lah nama yang sesuai. Mereka ingin mengekalkan hak pembesar mengutip cukai, dan menyerahkan hanya sebahagian kecil kepada kerajaannya.

Cuba bandingkan dengan sejarah yang pernah dimuatkan dalam Sejarah Tamadun Dunia. Revolusi Amerika Syarikat, Revolusi Rusia, Revolusi Cina, dan Revolusi Perancis. Orang-orang biasa yang mengetuai perjuangan melawan penindasan. Cukai yang membebankan rakyat – bukannya hasil pungutan pembesar.